MAICCI sokong langkah DBKL larang warga asing berniaga

0
945

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) hari ini menzahirkan sokongannya kepada langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melarang warga asing menjalankan perniagaan, yang meliputi 23 jenis perniagaan.

MAICCI dalam kenyataannya berkata langkah ini akan mengurangkan kewujudan warga asing yang tidak terkawal dalam sektor perniagaan dan langkah ini dijangka memberikan impak positif kepada perniagaan tempatan untuk berkembang dan makmur.

“Dalam hal ini (Presiden MAICCI) Datuk N. Gobalakrishnan mengalu-alukan tindakan yang tepat pada masanya, diambil oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan,” menurut kenyataan itu.

MAICCI selanjutnya menekankan keperluan tindakan melarang karnival anjuran rakyat tempatan tetapi menggunakan warga asing, berniaga barangan asing dan menghantar balik hasil keuntungan ke negara asal, katanya.

“MAICCI menggesa tindakan segera diambil kerajaan untuk menghentikan persaingan tidak sihat ini yang mengakibatkan kerugian kepada sektor perniagaan tempatan,” katanya.

— BERNAMA