Pakej PRIHATIN TAMBAHAN jamin kelangsungan operasi PKS

0
1260

KUALA LUMPUR: Pakej Rangsangan Ekonomi Tambahan (PRIHATIN TAMBAHAN) akan memastikan kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk beberapa bulan akan datang.

Presiden Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesion Malaysia (Peniagawati), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi, berkata meskipun bantuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu secara umumnya bersifat jangka pendek, namun ia perlu bagi meneruskan kelangsungan operasi PKS.

“Kita perlu sentiasa selangkah ke hadapan dalam setiap perkara. Bantuan ini penting bagi memastikan PKS terus beroperasi. Jika mereka tidak dibantu, bagaimana PKS boleh terus beroperasi dalam jangka masa panjang.

“Kerajaan juga banyak memberikan perhatian kepada perusahaan mikro yang memang memerlukan bantuan untuk operasi mereka sepanjang krisis ini.

“PKS memerlukan bantuan aliran tunai dan langkah tambahan ini sangat membantu mereka terutama usahawan wanita,” katanya sambil menambah bantuan tambahan kepada PKS itu perlu dilaksanakan dengan pantas dan mudah.

Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk Dr A.T. Kumararajah pula berkata pakej tambahan ini membolehkan PKS bertahan untuk tiga hingga enam bulan akan datang.

Beliau berkata 700,000 usahawan mikro mampu mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif yang diumumkan kerajaan itu.

“Usahawan mikro adalah golongan yang paling banyak terkesan ketika ini. Suntikan RM10 bilion adalah tepat pada masanya untuk membolehkan mereka mengharungi cabaran ekonomi yang sukar.

“Pendekatan kerajaan adalah amat wajar dan memadai untuk menzahirkan keprihatinan dan keperitan PKS pada ini,” katanya.